Search This Blog

Sunday, 2 October 2016

Realiti Islam

Tamadun Islam dibangunkan berpandukan dua sumber iaitu sumber ketuhanan dan kemanusiaan. Sumber ketuhanan  yang utama iaitu Al- Quran dan Sunnah. Sumber kemanusiaan pula merupakan sumber sampingan seperti ijtihad iaitu kaedah yang digunakan untuk mengetahui sesuatu hukum yang tidak terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah, khazanah tamadun dan budaya lain. Terdapat tiga dasar asas tamadun Islam iaitu akidah, syariah dan akhlak.

Akidah ialah kepercayaan dan keimanan kepada hakikat dan nilai-nilai mutlak. Aspek keimanan dalam Islam yang digariskan mempunyai enam aspek utama iaitu Allah, malaikat, rasul, kitab, hari kiamat serta qada’ dan qadar. Akidah dalam tamadun Islam berpandukan kepercayaan hanya kepada Allah dan tidak bercampur dengan ajaran lain. Secara rasionalnya, tamadun Islam menolak segala cara kehidupan yang tidak bersesuaian dengan realiti dan menolak percanggahan akal dengan wahyu. Tamadun Islam lebih terbuka dengan penemuan baru. Dari segi toleransi pula, tamadun Islam berlandaskan prinsip akidah dan syariah.

Syariah ialah undang-undang dan peraturan serta ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah dalam Islam. Secara keseluruhannya, syariah dalam Islam mempunyai banyak keistimewaan kerana syariah Islam sangat sempurna dan sesuai dengan kehidupan manusia. Syariah juga bersifat universal, sepadu dengan urusan dunia dan agama dengan bermatlamatkan untuk mendapat reda Allah. Undang-undang Islam ini juga lengkap dari segala segi, bersifat tetap dan tidak berubah-ubah.

Akhlak pula ialah sikap rohaniah yang memuliakan perbuatan manusia terhadap Allah, terhadap diri sendiri dan makhluk lain. Kesempurnaan akhlak meliputi akhlak terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, alam dan yang paling utama ialah akhlak terhadap Allah. Tamadun Islam banyak mengubah akhlak manusia menjadi lebih baik dari sebelumnya dan situasi ini banyak mengutamakan cara kehidupan manusia dan bagaimana manusia menjalankan kehidupan sebagai makhluk di bumi Allah.

Sesungguhnya, terdapat banyak pencapaian  dan sumbangan yang berlaku dalam tamadun Islam. Pencapaian-pencapaian ini jelas dapat dilihat melalui aspek akidah tauhid, politik, ekonomi, sosial, kesenian dan ilmu pengetahuan. Dalam bidang ilmu pengetahuan, telah lahirnya ramai ilmuwan Islam dalam bidang astronomi, matematik, kejuruteraan, biologi, perubatan Islam dan fizik seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibnu Batuta dan banyak lagi.


Secara kesimpulannya, tamadun Islam telah membuktikan kemajuan telah banyak berlaku melalui agama Islam iu sendiri. Tidak dapat disangkal lagi bahawa Islam sememangnya sebuah agama yang unik dan mememenuhi setiap ruang dan keperluan penganutnya yang datang dari pelbagai warna kulit dan negara.

No comments:

Post a Comment