Tamadun dari segi bahasa ialah civilisation dan
al-madaniyyah. Dari segi pengertian pula, tamadun bererti kehalusan budi
pekerti dan pembangunan bandar. Bahasa arab banyak memperjelas maksud tamadun
iaitu kehalusan budi pekerti dan kesopanan tingkah laku. Madana, Madinah dan
Madani merupakan perkataan-perkataan bahasa arab yang berkaitan dengan tamadun.
Madana misalnya bererti memperhalusi budi bahasa dan memperelok tingkah laku
manakala Madinah ialah nama sebuah bandar. Madani pula ialah orang yang
berkelakuan seperti orang bandar, bersifat halus dalam budi bahasa dan beradab
sopan dalam tingkah laku.
Melalui pengajian yang
disampaikan, terdapat dua orang tokoh terkenal yang telah mengkaji mengenai
tamadun Islam iaitu Ibnu Khaldun dan
Syed Qutb. Ibnu Khaldun menjelaskan bahawa tamadun ialah gaya peradaban dan
meliputi segala kehidupan termasuk rohani, fizikal, spiritual serta fitrah.
Syed Qutb pula menjelaskan bahawa Islam bukan sahaja sekadar kerohanian malah
Islam meliputi semua aspek kehidupan manusia. Beliau juga mengatakan bahawa
Allah telah mengutuskan Nabi dan Rasul untuk mengajak manusia ke jalan yang benar.
Sebelum kedatangan
Rasulullah sebagai pembawa ajaran agama Allah, realiti Islam yang sebenar ialah
menjauhi dan menyimpang dari ajaran yang benar. Golongan kuat akan menindas
golongan yang lemah dan perhambaan kepada Allah telah bertukar kepada manusia.
Islam diturunkan adalah bagi memperjelas akidah yang satu, menjelaskan
peraturan hidup manusia, menjadi pelengkap kepada syariat yang terdahulu serta
memperbetul kepercayaan serta ubudiyah.
Kesimpulan kepada
pengajian ketamadunan ini ialah, sudah jelas terbukti bahawa tamadun merupakan
satu pencapaian dan penerokaan manusia dalam perlakuan, pemikiran dan
penciptaan. Pengajian ini juga menjelaskan bahawa kewujudan tamadun membuktikan
pembentukan peribadi, akhlak, tingkah laku dan budi bahasa manusia berubah
kepada yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment