Search This Blog

Sunday, 2 October 2016

Pandangan semesta tamadun Islam

Pandangan semesta tamadun Islam terkandung dalam ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Pandangan ini tidak terbatas kepada sesuatu bangsa , suku, kaum, warna kulit dan sebagainya bahkan meliputi semua aspek kehidupan manusia dan alam. Sesungguhnya ajaran Islam sememangnya memenuhi dan mencakupi seluruh kehidupan yang sangat sempurna. Terdapat tiga aspek yang telah digariskan iaitu keimanan, kekuasaan dan kemanusiaan.

Aspek keimanan menjurus kepada beriman kepada Tuhan yang Esa dan kepercayaan ini menjadi asas kepada pembinaan tamadun Islam. Sesungguhnya, aspek kepercayaan dalam Islam tidak sama dengan aspek kepercayaan yang diamalkan oleh agama lain di serata dunia. Aspek keimanan dalam Islam  mengutamakan ketauhidan yang berdiri tegak mengikut lunas-lunas Al-Quran yang memenuhi setiap ruang, kaedah dan kehidupan penganutnya. Konsep kepercayaan, ketundukan dan kepatuhan kepada Allah berada dalam lingkungan menurut segala perintah Allah dan meninggalkan perkara yang dimurkai olehNya.

Aspek kekuasaan pula bermaksud manusia adalah pemegang amanah dan penggerak tamadun. Aspek ini dapat mengawal sebarang bentuk penyelewengan, penindasan dan kezaliman. Dalam ajaran Islam, sudah dijelaskan bahawa Al-Quran sebagai rujukan dan kitab yang menjelaskan Allah sebagai pencipta, penguasa dan pemilik mutlak alam ini termasuk manusia itu sendiri. Manusia hanya khalifah di muka bumi ini dan pelanggaran kepada ajaran Islam akan membawa kepada kebinasaan. Manusia perlu patuh dan megikuti segala ketetapan hukum Allah dan prinsip-prinsip syariat yang telah ditetapkan.

Aspek yang ketiga ialah aspek kemanusiaan yang membawa maksud manusia adalah makhluk Allah yang bererti diberi tanggungjawab serta kewajipan yang tertentu dan perlu dilaksanakan sebaiknya. Dalam ajaran agama Islam telah menjawab persoalan konsep kemanusiaan seperti dari mana kita datang dan pergi serta mengapa kita diciptakan. Persoalan-persoalan ini jelas dijawab dalam Al-Quran dan hadis yang menjadi pegangan utama penganut agama Islam. Konsep masyarakat mengikut Islam sangat terperinci kerana memenuhi hak setiap penganutnya seperti mengutamakan hak sama rata, hak untuk hidup, hak untuk berfikir dan beragama, hak untuk bebas, keadilan dan kehakiman serta maruah dan hak peribadi.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa konsep tamadun Islam dibina atas dasar al-din iaitu cara hidup yang sempurna dan memenuhi setiap aspek kehidupan manusia.  Tamadun Islam juga ditegak atas asas akidah, syariah dan akhlak yang terbaik serta mementingkan pencapaian rohani, akhlak dan material. Sesungguhnya, agama Islam telah menjadi asas pembinaan tamadun Islam yang menjadi penggerak kemajuan umat itu sendiri.


No comments:

Post a Comment