Tamadun Islam dibangunkan berpandukan
dua sumber iaitu sumber ketuhanan dan kemanusiaan. Sumber ketuhanan yang utama iaitu Al- Quran dan Sunnah. Sumber
kemanusiaan pula merupakan sumber sampingan seperti ijtihad iaitu kaedah yang
digunakan untuk mengetahui sesuatu hukum yang tidak terdapat dalam Al-Quran dan
Sunnah, khazanah tamadun dan budaya lain. Terdapat tiga dasar asas tamadun
Islam iaitu akidah, syariah dan akhlak.
Akidah
ialah kepercayaan dan keimanan kepada hakikat dan nilai-nilai mutlak. Aspek
keimanan dalam Islam yang digariskan mempunyai enam aspek utama iaitu Allah,
malaikat, rasul, kitab, hari kiamat serta qada’ dan qadar. Akidah dalam tamadun
Islam berpandukan kepercayaan hanya kepada Allah dan tidak bercampur dengan
ajaran lain. Secara rasionalnya, tamadun Islam menolak segala cara kehidupan
yang tidak bersesuaian dengan realiti dan menolak percanggahan akal dengan
wahyu. Tamadun Islam lebih terbuka dengan penemuan baru. Dari segi toleransi
pula, tamadun Islam berlandaskan prinsip akidah dan syariah.
Syariah
ialah undang-undang dan peraturan serta ketetapan yang telah ditetapkan oleh
Allah dalam Islam. Secara keseluruhannya, syariah dalam Islam mempunyai banyak
keistimewaan kerana syariah Islam sangat sempurna dan sesuai dengan kehidupan
manusia. Syariah juga bersifat universal, sepadu dengan urusan dunia dan agama
dengan bermatlamatkan untuk mendapat reda Allah. Undang-undang Islam ini juga
lengkap dari segala segi, bersifat tetap dan tidak berubah-ubah.
Akhlak
pula ialah sikap rohaniah yang memuliakan perbuatan manusia terhadap Allah,
terhadap diri sendiri dan makhluk lain. Kesempurnaan akhlak meliputi akhlak
terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, alam dan yang paling utama ialah
akhlak terhadap Allah. Tamadun Islam banyak mengubah akhlak manusia menjadi
lebih baik dari sebelumnya dan situasi ini banyak mengutamakan cara kehidupan
manusia dan bagaimana manusia menjalankan kehidupan sebagai makhluk di bumi
Allah.
Sesungguhnya,
terdapat banyak pencapaian dan sumbangan
yang berlaku dalam tamadun Islam. Pencapaian-pencapaian ini jelas dapat dilihat
melalui aspek akidah tauhid, politik, ekonomi, sosial, kesenian dan ilmu
pengetahuan. Dalam bidang ilmu pengetahuan, telah lahirnya ramai ilmuwan Islam
dalam bidang astronomi, matematik, kejuruteraan, biologi, perubatan Islam dan
fizik seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibnu Batuta dan banyak lagi.
Secara
kesimpulannya, tamadun Islam telah membuktikan kemajuan telah banyak berlaku
melalui agama Islam iu sendiri. Tidak dapat disangkal lagi bahawa Islam
sememangnya sebuah agama yang unik dan mememenuhi setiap ruang dan keperluan
penganutnya yang datang dari pelbagai warna kulit dan negara.